Wednesday, May 29, 2013

Berakhirlah sebuah perjuangan...

Kini sudah 5 tahun hamba berada dalam alam persekolahan menengah. Ia merupakan tahun terakhir hamba dalam arena perdebatan Piala Perdana Menteri. Sayang, tatkala menjadi harapan dan sangkaan semua untuk menggenggam piala itu, tampaknya kuasa Tuhan Maha Esa menentukan segalanya. Sekali lagi hamba dan teman seperjuangan hamba rebah sebelum melangkah ke pentas perdana. Mungkin kami tidak mampu menerima kekalahan itu kerana kami tahu betapa kami ini lebih bagus daripada mereka. Tidak mengapalah, meskipun bergenang air mata dan sayu hati menerimanya. Ketentuan Tuhan perlu diterima agar kita tidak syirik padaNya. Sesungguhnya, Allah yang menentukan segalanya dan Dia mengetahui kebaikan di sebalik sesuatu kejadian. Tidak mungkin akan hamba lupakan betapa peritnya hati ini menerima kegagalan membawa pulang Piala Perdana Menteri ke bumi Ipoh sekali lagi. Buat Cikgu Shahnun, hamba mengucapkan ribuan terima kasih kerana selama ini sanggup menerima kehadiran hamba yang tidak seberapa ini dalam keluarga bahas bahasa melayu STAR. Amirul atau Black dan Dinie, tuan hamba berdualah merupakan rakan seperjuangan hamba yang begitu dihormati, disanjungi dan disayangi. Moga Tuhan membenarkan kita bersama sekali lagi dalam arena perdebatan satu masa lagi. Minta maaf keluargaku, rakan-rakanku, guru-guruku dan semua yang mengharap dan mendoakan agar kami berjaya. Sekali lagi hamba menghampakan anda semua. Terima kasih tidak terhingga atas semua sokongan yang diberkan terutama ibuku, rakan-rakan sekolahku serta En Nadzif dan keluarga. Buat keluarga bahas, minta maaf dan terima kasih atas segalanya. Sebelum meninggalkan laman ini, suka untuk hamba kongsikan firman Allah;

"Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu tidak ketahui"
(Al-Baqarah ayat 30)

Yakinlah dengan ketentuanNya. Itu lebih baik bagi kita semua.
Ribuan terima kasih cikgu atas kepercayaan dan sokongan cikgu selama ini

Segala kenangan kita takkan hamba lupakan

Keluarga ini akan kekal di hati hamba
Teruskan kecemerlangan keluarga ini